Friday, March 7, 2014

Saturday, March 1, 2014

Beberapa minit yang lalu

Tempat aku berhalusinasi, tempat aku berimitasi. Disini. Dan kau diluar memerhati. Adakah aku didalam engkau wahai Sang Normal?

Thursday, February 27, 2014

Beberapa kali

Itu, itu, itu, ini, ini, ini, itu, itu, itu, ini, ini, ini.

Jangan arahkan itu, ini, kelak nanti jari itu akan menekan kamu terus jauh kedalam perut bumi.

Monday, February 24, 2014

Beberapa jam lepas

Semalam aku bemimpi lagi. Mendongak ke langit. Aku lihat tapak kaki aku sendiri. Aku di langit mendongak lagi. Kelihatan tapak kaki aku sendiri lagi. Dan apabila aku bersangka baik, aku yang lain pun akan begitu.

Tiada apa yang aku lihat selain rawak senda gurau pesona dunia ini.

Biarpun begitu, HarumMu membuatkan aku terpejam mendongak lagi.


Thursday, February 20, 2014

Beberapa puluh tahun lupa

Balik kerja, masuk bilik buat kerja, pergi kerja buat kerja, balik kerja masuk bilik buat kerja. Begitulah hari hari. Dan besok kalau tak mati. Sampai aku lupa dengan keadaan sekeliling rumah dan tanah.

Petang tadi ralik aku buat kerja dalam bilik, Mak aku sound.

"Gitar aok tu, pokok kayu, kalau tak besar berakar mencengkam tanah, tak mau ditebang orang dibuat gitar. Tau?"

Tanpa berkata apa apa, aku turun ke tanah bawa gitar tanpa berselipar merasa tanah dan lupur dengan kulit kaki. Ambil gambar satu. Dah. Esok akan berulang macam biasa lagi..

Friday, February 7, 2014

Beberapa hal pasal sekolah

Dulu masa kecik aku selalu tanya mak. Kebiasaannya aku tanya masa dalam perjalan ke sekolah. Sebab masa tu baru ingat pasal nama.

"Mak, kenapa nama orang takde Muhammah kat depan?. Semua kawan ada Muhammad, Mohd."

Selalu lah aku tanya. Tapi mak tak jawab. Sampailah aku paksa mak buatkan name tag lain. yang ada Muhammad kat depan. Jadilah Muhammad Ismail.

Last last sambil dia pakaikan name tag tu, dia cakap,

"Muhammad ni? mak tak letak sebab Muhammad ni aok akan cari sendiri. satu masa nanti."


Beberapa tahun lepas

Masih terbayang bayang dalam ingatan mimpi gelisah aku berberapa tahun sudah.

Aku berada di satu kawasan lapang seakan tiada penghujung. Tiada fokus hanya yang paling hampir dimata kasar. Bogel tidak berseluar baju, seluruh kawasan warnanya kelabu. Termasuk aku. Tidak tergerak walaupun selangkah. Hanya suara suara bingung ingin mengatur langkah. Semua ilmu yang dipelajari sudah tidak boleh digunakan lagi. Aku seakan sudah mati. Mati dan lupa hanya ingin mahu kembali.

Aku terjaga, lalu terus ke dapur.

"Mak boleh tolong ajarkan masak gulai ayam masak tempoyak?"

Dahi mak berkerut sambil pegang sudip.